<$Isnin, 23 Februari 2009$>
Apa Kata MUSYRIF
Ustaz Zulfadhli Yusuf Graduan Kuliah Dakwah Islamiah بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحـبه ومن والاه.أما بعد: Puji dan syukur setingginya kepada Allah s.w.t. di atas limpah kurniaNya buat alam sejagat, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., kaum keluarga baginda, para sahabat r.a, para tabie'in dan mereka-mereka yang mengikuti jejak langkah pembela-pembela agama sehingga ke akhir zaman. Terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih pada kumpulan gerak kerja ILHAM yang bertungkus lumus berusaha menghasilkan majalah PMTIS untuk kesekian kalinya. Tidak lupa buat pimpinan PMTIS yang baru, terima kasih kerana memberikan kerjasama dalam menjayakan gerak kerja PMTIS buat sesi ini. Saudara sekalian, Apa yang ingin saya sampaikan buat sahabat sekalian, sebagai peringatan untuk kita semua, walaupun ia melibatkan perkara-perkara yang sememangnya saudara sekalian tahu. Cuma saya sebutkan juga sebagai peringatan untuk kita semua. (وذكر فإن الذك تنفع المؤمنين) الذاريات: 55 Saudaraku, kita ini orang Islam, maka kita adalah bersaudara, bila ada saja perselisihan faham atau perbezaan pendapat dalam melaksanakan sesuatu perkara yang lebih berbentuk kepada cara pelaksanaan bukan yang bertentangan dengan dasar, janganlah sesama kita bergaduh dan bermasam muka. Gunalah hikmah dalam menyelesaikan perkara ini dengan kembali kepada apa yang disuruh oleh Islam. Islam menyuruh kita berbincang,bermesyuarat,hiwar dan sebagainya. Saudaraku, perselisihan pendapat dan pandangan adalah perkara biasa kerana manusia itu sendiri dicipta Allah dengan pelbagai tabiat diri, kecenderungan dan cara berfikir yang berbeza. Maka yang perlunya di sini, kita adun dan olah dengan cara yang elok dengan acuan Islam, sebagai penyelesai masalah. Saudaraku, kita datang ke bumi barakah ini untuk belajar, ianya adalah tujuan utama kita di sini, maka ambillah peluang keemasan yang jarang-jarang kali ada, yang jarang semua orang mendapat peluang seperti ini.Beruntung sangat kita kalau kita dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya. Kita perlu ada satu perancangan yang teliti, lengkap dalam tempoh kita berada disini. Setiap pelajar mesti ada jadual harian belajarnya, buku apa mahu dia baca, berapa jam untuk mengulangkaji, menelaah, muzakarah selain dari waktu di dalam kelas, itupun kalau yang rajin, berapa buah kitab mahu kita baca setiap hari, berapa masalah ilmu kita tidak faham, kurang jelas, mustholahat itu dan ini, makna itu dan ini, berapa kamus yang kita rujuk untuk kita faham, semua perkara tersebut memerlukan satu penyusunan yang rapi. Saudaraku, kita bukan lagi berada di Derang, bukan lagi di Malaysia, yang mana sukatan pelajaran sedikit kalau dibandingkan di sini, yang mana sikap kita bertungkus lumus membaca, hafal tetapi tak paham bila nak imtihan, yang mana kita akan bertanya pada guru-guru dari muka surat mana ke mana matlub untuk imtihan. Saudaraku sampai bila kita nak belajar untuk imtihan, bila imtihan semakin hampir, kita mula menggelabah, kerana banyak yang perlu dibaca, sedangkan sebelum itu kita hanya leka. Disebabkan terlalu gelabah kita mula menghafal walaupun tanpa difahami isi tajuk perbincangan, kita akan mula sibuk mencari ringkasan, di kedai atau dari kawan-kawan. Ini semua setuasi yang selalu terjadi di kalangan kita. Saudaraku, kurangkan masa tidur mu, jangan tidurmu seperti bayi yang baru lahir yang tidurnya berjam-jam lama. Kita tidak persalahkan jika ada keuzuran atau yang sewaktu denganya. Saudaraku, berdoalah, berusahalah, bekerjalah dengan apa cara sekalipun selama mana wasilah itu mashru' untuk menjayakan agamamu Islam yang teramat mulia ini, untuk mempertahankannya, membelanya dari dihina. Fikirlah, renunglah masalah umat yang sedang nazak ini. Yang nasibnya tidak terbela, bermusuhan sesama sendiri dalam perkara kecil. Bukan sekadar berfikir, bukan sekadar merenung, mengkritik, tapi carilah cara penyelesaian yang terbaik dan berhikmah, Bertindaklah seupaya mungkin dengan gerak kerja jamai'ei. Saudaraku, kerja jamaah ini banyak. Kita tidak mampu untuk melakukan apa saja kerja jamaah, kecuali dengan kita bersatu, berganding bahu, tolong menolong, pembahagian tugas yang teratur dan teliti. Saudaraku Islam ini syumul, bukan hanya tertumpu pada salah satu dari aspek kehidupan, bahkan ia merangkumi semua aspek kehidupan, masyarakat, politik, ekonomi, undang-undang dan lain-lain lagi. Saudaraku kita memerlukan banyak team atau kumpulan untuk bergerak dalam amal jamaei, baru kita boleh melakukan dakwah dalam semua bidang, satu team yang tertumpu pada politik, satu team melawan dakyah kristian, satu untuk melawan yahudi, satu melawan rawafidh, satu melawan skularism, sosialism, satu team dalam pendidikan, satu team dalam pembangunan luar bandar, satu team menjenguk pesakit-pesakit yang susah di hospital dan sebagainya yang mana terlalu banyak yang perlu kita sama berjuang melaksanakannya. Moga kita bersama-sama dapat memanfaatkan sebaik-baiknya catatan yang ringkas ini untuk kita maju bersama ke hadapan. Wassalam. Label: MUSYRIF |
posted by PMTIS at 5:25 PG
Catat Ulasan