<$Ahad, 22 Februari 2009$>
KHABAR YANG TERPENJARA
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam, ahli keluarga dan para sahabat baginda radiallahu anhum. Agaknya belum terlambat untuk kita mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah 1430. Walaupun keluaran ILHAM pada kali ini tidak menjadikan ia sebagai fokus utama untuk dibicarakan yang kebiasaannya kita akan membicarakan tajuk penghijrahan Nabi sollallahu alaihi wasallam dari bumi Makkah ke Kota Madinah setiap kali datangnya pertukaran tahun baru hijrah. Kita sudah lazim di dalam kehidupan kita khususnya di Malaysia, tajuk seperti ini akan kita dengari dari ceramah-ceramah atau kuliah agama samada di surau atau masjid, tidak ketinggalan juga akhbar atau majalah akan mebahaskan tentang perkara ini yang turut memuatkan beberapa intipati penting dari kisah agung tersebut. Namun di sebalik saratnya maklumat tentang penghijrahan Nabi sollallahu alaihi wasallam dan betapa meriahnya sambutan yang diadakan (walaupun tidak semeriah sambutan tahun baru masihi) ditambah lagi dengan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah pada setiap kali datangnya tahun baru hijrah masih ada di antara kita yang belum dapat mengambil pengajaran darinya. Penghijrahan Nabi sollallahu alaihi wasallam sebenarnya adalah bagaikan satu nafas baru bagi kaum muslimin yang telah bersama Nabi semasa di Kota Makkah. Mereka telah bermati-matian untuk mempertahankan agama yang baru mereka anuti itu di samping berusaha untuk menyebarkannya. Lantaran dari keteguhan dan semangat yang mereka tunjukkan itu, maka mereka telah menerima dua “anugerah” istimewa iaitu penyeksaan dan penghinaan dari kaum kafir Quraisy. Kalau kita merenung kembali bagaimana azab seksaan yang telah diterima oleh Saidina Bilal bin Rabah, seorang hamba abdi yang diseksa oleh tuannya kerana memeluk Islam. Tidak ketinggalan kisah pengorbanan yang dilakukan oleh keluarga Ammar bin Yasir yang dibunuh seisi keluarganya demi mempertahankan Islam, kita akan merasai betapa susahnya untuk medapatkan sesuatu kejayaan yang begitu banyak menuntut kesabaran dan pengorbanan. Begitulah apa yang dikatakan nafas baru yang terhasil daripada penghijrahan Nabi sollallahu alaihi wasallam dan kaum muslimin ke Kota Madinah. Justeru pada keluaran ILHAM kali ini, kami telah memilih tajuk “KRISIS PATTANI: bagaikan berhenti tanpa noktah” untuk mencari dan memberi satu nafas baru bagi umat Islam di negara Pattani yang kini bagaikan sudah kehilangan simpati masyarakat dunia. Sebenarnya tajuk ini lebih cenderung untuk mencungkil kembali satu krisis yang cuba ditutup rapat dari pengetahuan luar oleh kerajaan Siam. Kalau kita lihat di dada-dada akhbar dan majalah beberapa tahun yang lalu begitu sarat dengan beberapa episod berdarah yang melibatkan umat Islam Pattani, dimulai dengan kes pembunuhan di Tak Bai kemudian disusuli pula dengan serangan di Masjid Krisek dan lain-lain lagi. Namun krisis yang dulunya menjadi tajuk utama perdebatan dan berbahasan samada di peringkat pimpinan ataupun masyarakat marhaen kini kian menyepi dan pudar. Menyedari akan hakikat inilah, kami cuba untuk membongkar kembali krisis ini agar ia kembali diberi perhatian sewajarnya, bukan hanya dibiarkan berhenti tanpa noktah. Kita sendiri melihat bagaimana OIC yang kononnya sebuah organisasi yang menjadi benteng pertahanan bagi umat Islam juga tidak memandang serius tentang perkara ini. Ia jelas berlaku di dalam persidangan OIC yang diadakan di Uganda pada tahun lepas. Justeru marilah sama-sama kita berganding tangan berjuang untuk mengembalikan hak-hak umat Islam yang telah dirampas, menaikkan semangat jihad yang telah pudar dan menggilap kembali kader-kader yang mampu untuk menjadi payung kepada perjuangan Islam. Akhir sekali saya mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada Ketua Umum PMTIS, Ustaz Omar Faruq bin Ali yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk mengetuai majalah ILHAM walaupun saya bukanlah terdiri dari orang yang berpengalaman di dalam bidang ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada semua krew ILHAM yang banyak memberi kerjasama di dalam penerbitan ILHAM pada kali ini terutama kepada mereka yang sanggup untuk menjadi bidan terjun demi membantu krew-krew yang sedang menempuhi peperiksaan. Tanpa mereka semua, kejayaan dan matlamat majalah ini tidak akan tercapai. Kepada Allah kita memohon pertolongan agar semua gerak kerja kita yang menuntut segala jenis pengorbanan ini dipermudahkan dan diterima sebagai satu amal kebajikan. Sememangnya setiap kejayaan itu menuntut berjuta pengorbanan, begitu juga setiap pengorbanan menuntut berjuta semangat dan keberanian. Wassalam. Wan Muhammad bin Wan Abd Halim Pengarah Urusan ILHAM 1430/2009 abuwafiq13@yahoo.com Label: MINDA EDITOR |
posted by PMTIS at 5:20 PG
Catat Ulasan